Program yang diadakan di sebuah hotel di bandar raya ini bertujuan bertukar-tukar pendapat mengenai fungsi petugas media selain menerangkan mengenai peranan yang dimainkan oleh HPP iaitu sebuah pusat perubatan milik kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi HPP, Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap berkata, pihaknya tidak menafikan peranan dimainkan media amat penting bagi menerangkan kepada masyarakat tugas dan tanggungjawab dimainkan mana-mana agensi pusat perubatan di negara ini.

"Menerusi program ramah mesra seperti ini, rakyat Melaka akan mendapat penerangan yang lebih jelas tentang peranan dimainkan HPP iaitu sebuah pusat perubatan milik kerajaan negeri yang sudah beroperasi lebih 20 tahun di Melaka.

"Malah kita juga berharap sebagai sebuah pusat perubatan yang tertua di Melaka rakyat dapat mengetahui bahawa HPP menyediakan perkhidmatan yang hampir lengkap iaitu ramai pakar dalam hampir kesemua disiplin perubatan," katanya.

Ismail yang juga Pakar Bedah Am dan Kolorektal di HPP berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HPP, Mohd. Salleh Jusman dan Pakar Pembedahan hospital tersebut, Kolonel (B) Dr. Malik Feisal Ayob. - UTUSAN ONLINE