Dalam lawatan kira-kira sejam, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan dan kemajuan projek kompleks hospital bernilai RM606 juta itu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Projek HKKPUKM, Profesor. Datuk Dr. Abdul Rahman A.Jamal.

Abdul Rahman berkata, se­panjang sesi taklimat dan lawatan itu, Rosmah berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan hospital yang bermula sejak 2013.

“Ketika itu majlis pecah tanah projek dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pada hari ini juga, beliau (Rosmah) turut diberi penghormatan untuk memilih satu daripada tiga reka bentuk hiasan luaran dan dalaman berdasarkan warna dan corak yang beliau gemari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Rosmah melawat tapak projek HKKPUKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Menurut Abdul Rahman, hospital tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 30 November ini, namun beroperasi sepenuhnya, Julai tahun hadapan.

“Alhamdulillah, projek pembinaan hospital ini berjalan mengikut jadual dan bakal menjadi hospital kanak-kanak paling moden di Malaysia dan pertama berkonsepkan teknologi tinggi tetapi ceria dan mesra kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Jelasnya, antara kemudahan yang bakal disediakan adalah kesemua 250 katil pesakit diberikan ruang bilik masing-masing.

“Tidak ada lagi suasana deretan katil dalam wad supaya memberikan suasana yang lebih selesa kepada pesakit dan ibu bapa.

“Di samping kita menjangkakan lebih 20,000 ribu pesakit setahun, yang bawah umur 18 tahun dapat menerima rawatan yang terbaik, cekap dan mesra untuk apa juga penyakit yang mereka hidapi,” katanya.

Tambahnya lagi, HKKPUKM bakal dilengkapi dengan dewan pembedahan digital, sistem pengimejan resonans magnetik (MRI) dalam dewan bedah, wad khas pemindahan sum-sum tulang, wad penyelidikan klinikal, Permata Wellness Centre, pusat pengurusan bencana, pusat penyelidikan dan biobank, pusat konvensyen dan pangsapuri untuk keluarga serta tetamu.