Namun, perkara tersebut dijelaskan bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2014, TAN SRI SHEIKH GHAZALI ABDUL RAHMAN ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AFIQ MOHD. SHAH mengenai kepentingan masyarakat memahami hukuman yang dijatuhkan mahkamah syariah.

sheikh ghazali abdul rahman
SHEIKH GHAZALI ABDUL RAHMAN

UTUSAN: Boleh Tan Sri jelaskan mengapa elemen sebatan dalam khalayak ramai itu terkandung dalam undang-undang Islam?

SHEIKH GHAZALI: Hukuman sebatan di khalayak ini telah pun terkandung dalam al-Quran. Jika kita lihat hukuman melibatkan zina termasuklah bagi golongan lesbian atau gay, proses itu perlu dilakukan di khalayak. Maksud khalayak pula bukanlah seramai beribu orang, tetapi kalau tengok kepada kitab-kitab Fekah, tiga orang yang menyaksikan pun sudah dikira khalayak. Malah, hukuman sebatan itu juga bukanlah untuk memalukan atau menya­kitkan, hanya untuk memberi kesedaran kepada pesalah dan orang ramai.

Apa pandangan Tan Sri apabila ada suara-suara sumbang mengatakan bahawa hukuman sebatan sedemikian melanggar hak asasi manusia?

Pada pandangan saya, tiada apa-apa isu melanggar hak asasi manusia pun. Kebanyakan ‘hak asasi manusia’ yang dibangkitkan beberapa pihak ini pun sebenar­nya merupakan perbuatan yang melanggar hukum syarak. Aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu sendiri sudah melanggar hukum syarak. Sebagai umat Islam, kita tak perlu ikut pun.

Komen Tan Sri apabila ada umat Islam sendiri yang mempertikaikan perundangan syariah dan menyokong gerakan libe­ral seperti LGBT dan sebagainya.

Saya amat dukacita dengan tindak-tanduk itu. Mereka perlu menghormati undang-undang Islam bahkan Allah sendiri telah memberi amaran menerusi kaum Nabi Luth a.s yang mengamalkan hubungan sejenis dan diterbalikkan bumi mereka. Adakah kita di Malaysia sebagai negara Islam nak saksikan perkara itu terjadi di sini? Allah dah ciptakan semua cantik, malah binatang pun tiada yang menyukai sesama jantina. Bagaimana manusia yang dah diberikan akal fikiran tergamak melakukan perkara itu?

Mengapa golongan wanita juga tidak terlepas daripada dijatuhkan hukuman sebat dalam undang-undang syariah?

Jika dilihat mengenai pelaksanaan sebat dalam al-Quran, sudah termaktub hukuman itu perlu dilakukan ke atas mana-mana lelaki atau wanita yang berzina. Malah, elemen sebatan juga termasuk dalam konsep maqasid syariah, melibatkan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kalau kita tak laksanakan, siapa lagi? Undang-undang ini diwujudkan supaya memberi pengajaran kepada semua. Mungkin selepas disebat di dunia, Allah akan ampunkan di akhirat kelak.

Proses hukuman sebatan semalam berlangsung dalam suasana baik, malah dalam keadaan tidak memalukan dan menya­kitkan pesalah, namun persepsi buruk tetap juga tersebar. Panda­ngan Tan Sri?

Orang ramai perlu faham apa yang dilaksanakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu itu adalah mengikut lunas undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Malah, kedua-dua wa­nita itu pun sudah mengaku bersalah. Sekiranya mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan, mahkamah akan memberi ruang untuk perbi­ca­raan lagi. Jadi mahkamah cuma bertindak atas pengakuan mereka. Bukan sesuka hati menjatuhkan hukuman.