Timbalan Perdana Menteri berkata, kekeliruan tidak wajar berlaku dalam kalangan bukan Islam kerana rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh Pas itu bukan hukum hudud dan tidak melibatkan bukan Islam.

“Saya berasa bertanggungjawab bersama-sama rakan lain, bukan kita mahu antagonis menentang kawan lain. Tetapi tolong hormat, undang-undang ini hanya untuk orang Islam, kalau tidak faham kita akan runding, kita akan jelaskan, jangan tentang sebelum faham,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al-Quran Pe­ringkat Antarabangsa sempena Sam­butan Jubli Emas Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dekat sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sebagaimana yang diterangkan dalam perjumpaan bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang Islam semalam, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah termasuk meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara, selain menambah baik gred perkhidmatan hakim-hakim.

“Biarpun kita berbeza pendapat, latar belakang parti politik dan ideologi, semalam terbukti dalam Parlimen apabila ahli-ahli Parlimen Islam daripada BN (Barisan Nasional), Pas, PAN dan PKR duduk semeja membincangkan RUU 355.

“Peringkat awal agak hangat ke­rana mereka kurang faham tetapi apabila penjelasan dibuat, mereka kata kenapa tidak dijelaskan dari dahulu. Soalan kita, kenapa tidak tanya dari dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM35 juta untuk menaik taraf infrastruktur Darul Quran bagi menampung lebih ramai penuntut.

“Darul Quran sejak 1966 memberi impak besar dalam pendidikan tahfiz negara ini,” katanya.

Ujar beliau, harapannya adalah melihat Darul Quran menjadi universiti, seterusnya melahirkan profesional Islam yang huffaz.

“Saya difahamkan sudah terdapat ramai doktor yang hafiz, jurutera yang hafiz, malah sudah ada jurutera aeroangkasa yang tahfiz. Kita kena ramaikan lagi golongan huffaz untuk menjadi pemangkin kemajuan dan buktikan bahawa Islam itu adalah ad-din,” katanya.

Katanya, kerajaan komited memperkasa institusi pendidikan tahfiz di negara ini dan memper­kenalkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Dalam program simposium yang menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuan al-Quran dari pelbagai negara itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) Tahun 2015 kepada 33 penerima berpangkat Mumtaz.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.