Abdul Rahman Osman
Abdul Rahman Osman 

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin wajar disanjung tinggi apatah lagi agama Islam semakin ditekan apabila ada segelintir pihak cuba menafikan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, keharmonian dan perpaduan kaum yang telah dibina sejak dahulu perlu dikekalkan, malah disemai semula, bukannya menggugat keamanan dengan mencabar kedudukan Islam.

“Apa yang kita bimbangi adalah apabila semakin banyak pihak cuba menafikan hak Islam, umat Islam menjadi marah dan bangkit mempertahankan agama mereka sekali gus boleh menyebabkan huru-hara dan perpecahan antara kaum.

“Sehubungan itu, kita ingatkan supaya janganlah sesekali mencabar kedudukan agama Islam dan hormatilah apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Mizan dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1440H/2018M yang mengingatkan bahawa umat Islam di negara ini sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihak bertanggungjawab juga perlu lebih serius menangani ancaman atau kebencian terhadap Islam termasuk dari umat Islam sendiri.

“Perkara sebegini perlu disekat daripada awal, ja­ngan dibiarkan terus berleluasa, malah kebencian terhadap agama Islam tidak sepatutnya datang daripada umat Islam sendiri. Mereka sepatutnya sedar apa yang dilakukan itu boleh menyebabkan anak cucu mereka tergelincir daripada Islam,” ujar beliau.

KUALA LUMPUR 24 JUN 2012- Ahli Dewan Tertinggi PERKASA,Datin Paduka
Ramlah Adam

Dalam pada itu, pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berpendapat, sikap toleransi dan saling memahami kepercayaan serta amalan beragama perlu dijadikan asas kukuh dalam kala­ngan masyarakat supaya tidak timbulnya pertikaian dan ketegangan antara kaum.

Beliau berkata, Fasal 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain pula boleh diamalkan secara aman damai merupakan jaminan bahawa setiap rakyat dilindungi haknya.

“Apa yang dititahkan Sultan Mizan adalah manifestasi penekanan dan keprihatinan ba­ginda untuk memastikan syiar Islam terus berkembang serta tidak digugat oleh segelintir pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Usaha bagi menafikan ke­dudukan Islam perlu dihentikan terus kerana perkara tersebut telah dijamin oleh perundangan yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.