Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, institusi raja Melayu adalah payung negara yang menjadi naungan rakyat dan melangkaui semua agama, kaum, bahasa, fahaman politik dan sebagainya.

Menurut Tuan Ibrahim, ia adalah satu-satunya institusi yang bebas daripada apa-apa juga sentimen dan pengaruh tertentu.

“Oleh itu, Pas menasihatkan semua parti dan watak politik untuk menghormati institusi ini atas sifatnya itu.

“Apa sahaja pertikaian politik yang kita hadapi, janganlah kita melanggar sempadan ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dipercayai merujuk kepada kemelut melibatkan pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Ketika angkat sumpah jawatan tersebut, tiada seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hadir dalam majlis di Istana Arau, Perlis itu.

Hal itu menyebabkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail murka dan bertitah baginda tidak melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sebelum ini, kerana bimbang pentadbiran kerajaan negeri menjadi boneka kepada pihak lain. - UTUSAN ONLINE