Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, institusi tersebut juga perlu dipertahankan dan dijaga sebaik mungkin termasuk dalam menghormati keputusan Majlis Raja-Raja bagi memilih Pengganti Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Hak untuk memilih Yang di-Pertuan Agong terletak kepada Majlis Raja-Raja dan kepada sesiapa juga saya harap hormatilah ketetapan yang telah dibuat sekian lama ini dimana setiap lima tahun Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada sembilan raja-raja Melayu

"Jadi kita letak noktah di situ. Tidak perlulah orang ramai sebut lagi tentang perkara lain. Jangan rosakkan imej institusi raja dengan kenyataan-kenyataan yang boleh merosakkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Akademi Penerbangan Layang-Layang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mempertikaikan kredibiliti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam isu pelantikan Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan berkuat-kuasa semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, Sultan Nazrin adalah seorang sultan yang amat berjiwa rakyat dan menitikberatkan kepentingan mereka selain sentiasa memberi nasihat dan kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri ada jalinan kerja yang cukup baik dengan baginda Sultan Perak dan kita mahu ia dikekalkan dan berjalan berterusan," katanya. - UTUSAN ONLINE