Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali malah menegaskan polemik berterusan yang boleh disifatkan sebagai menghasut rakyat bagi ‘membenci’ Majlis Raja-Raja perlu dihentikan segera.

Jelas beliau, sebagai rakyat yang berjanji taat setia kepada undang-undang, kepemimpinan kerajaan, pemimpin parti politik dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri seharusnya tidak lupa dengan konsep ‘rule of law’ apatah lagi seolah-olah hanya memandang sebelah mata sahaja kuasa Majlis Raja-Raja.

“Mengulangi kenyataan yang jelas boleh dipersoalkan tentunya mengundang persepsi negatif terutamanya daripada sesetengah pihak untuk membenci institusi diraja. Amalan Raja Berperlembagaan bukan bermakna raja-raja diibaratkan seperti ‘tunggul’ semata-mata. Raja-raja ada peranan dan kuasa sebagai institusi semak dan imbang kepada sistem demokrasi berparlimen.

“Sistem demokrasi berparlimen juga ada cacat celanya. Sejarah dunia sebelum ini juga melahirkan pemimpin diktator walaupun di bawah amalan demokrasi. Maka, perkongsian kuasa melalui amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan adalah terbaik dari segi semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika diajukan soalan berhubung pengganti Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Dr. Mahathir dalam wawancara bersama akhbar The Star hari ini dilaporkan berkata beliau masih belum menerima pengesahan mengenai perkara tersebut.

“Saya selalu membayangkan Yang di-Pertuan Agong yang akan meluluskan semua pelantikan jawatan kanan tetapi entah bagaimana, perlu berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Sekarang, bukan Yang di-Pertuan Agong sahaja tetapi juga perlu melalui Majlis Raja-Raja. Saya tidak memahaminya. Keputusan tidak boleh diubah melainkan ada alasan kukuh. Kami telah membuat keputusan (Ketua Hakim Negara baharu) dan telah menghantar nama kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Dr. Mahathir dalam wawancara tersebut. - UTUSAN ONLINE