Kemunculan Perdana Menteri dalam imej video bergerak berbentuk hologram itu seolah-olah pemimpin nombor satu negara itu berada dekat dengan pengunjung.

Pengarah Operasi Ekspo Negaraku 2017, Fadzmel Fadzil berkata, pihaknya menampilkan Perdana Menteri dalam bentuk hologram bagi membolehkan para pengunjung mendengar sendiri visi dan misi kerajaan.

“Jika sebelum ini masyarakat hanya melihat Perdana Menteri dalam televisyen atau di dada akhbar, tetapi menerusi teknologi hologram ini mereka berpeluang berinteraksi dan mengambil gambar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, kubah kelima merupakan kubah paling besar daripada empat kubah lain iaitu 30 diameter persegi yang dipenuhi dengan skrin bersaiz gergasi serta dilengkapi dengan paparan teknologi tiga dimensi (3D).

Katanya, kesemua skrin itu memperincikan pembangunan dan infra rakyat yang akan dilaksanakan pada masa hadapan antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Zon Perda­ga­ngan Bebas Digital (DFTZ) dan Bandar Malaysia.

“Kami menyediakan puluhan kusyen bean bag bagi memboleh­kan pengunjung me­li­hat dan berimaginasi mengenai masa depan negara di bahagian dinding dan siling kubah.

“Suasana akan menjadi lebih menarik apabila mengunjungi Ekspo Negaraku ini pada waktu malam kerana di bahagian luar kubah akan disinari dengan pancaran cahaya berwarna-warni yang penuh naratif cerita Malaysia,” katanya.

Ekspo Negaraku 2017 yang bermula semalam hingga 15 Disember ini merupakan pame­ran infrastruktur terbesar yang memaparkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera untuk rakyat.