Apa yang nyata, inisiatif HKL menyediakan khemah dan kerusi kepada petugas media yang ‘berkampung’ di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam sejak beberapa hari lalu benar-benar melegakan.

Menurut jurucakap HKL, kemudahan itu disediakan atas arahan daripada Pengarah HKL Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain yang prihatin terhadap petugas media yang berpanas dan berhujan sejak 15 Februari lepas di IPFN itu. 

“Sebanyak 20 kerusi, dua khemah serta dua meja ditempatkan di hadapan IPFN untuk petugas media,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhammad Afiq Mohd. Asri, 24, merakamkan ucapan terima kasih kepada HKL kerana prihatin kepada petugas media.

“Kami telah berkampung di sini sejak 15 Februari lepas dan pastinya dengan kemudahan ini memberikan kelegaan kepada petugas media sejak pagi ke malam berada di sini untuk mengikuti perkembangan kes ini.

“Selain itu dapat kami berteduh dari panas dan hujan,” katanya di sini hari ini. 

Kes pembunuhan Jong-nam mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara dengan lebih 50 petugas media berkampung di hadapan IPFN sejak 15 Februari lepas. - UTUSAN ONLINE