Timbalan Perdana Menteri ber­kata, keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau itu lebih kepada untuk memperkukuhkan institusi kepemimpinan dalam kerajaan bagi membantu Perdana Menteri berdepan isu-isu domestik dan antarabangsa.

“Cadangan untuk tugasan tambahan ini dibuat oleh saya sendiri kira-kira tiga bulan lalu dan tugasan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri. Ia adalah untuk memperkukuhkan institusi kepemimpinan di pihak kerajaan dan parti. Tentunya terdapat beberapa tugasan yang akan diberikan oleh Perdana Menteri kepada Hishammuddin selain tugasan yang akan saya bincangkan dari semasa ke semasa bersama Hishammuddin termasuk berkaitan luar dan dalam negara.

“Jadi ia bukan bertujuan mengambil alih tugas di kementerian lain, umpamanya Kementerian Luar, tidak bermaksud begitu,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 April lalu mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri selain kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Ahmad Zahid seterusnya meminta agar tidak timbul lagi sebarang spekulasi dan pelbagai analisis bersifat negatif terhadap tugasan baharu Menteri Pertahanan itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Hishammuddin berkata, kerajaan akan membuktikan keputusan mewujudkan jawatan baharu yang disandangnya itu bukan retorik semata-mata.

Menurutnya, telah diterangkan sebelum ini, portfolio baharu itu diwujudkan untuk membantu Perdana Menteri memantau aspek keselamatan negara yang tertumpu kepada pemantauan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Saya bantu Perdana Menteri sebab jawatankuasa Esscom itu dipengerusikan oleh beliau. Jadi saya akan mengkoordinasikan hasil perbincangan jawatankuasa tersebut dan kemudian kita bincangkan secara bersama apa yang perlu ditekankan,” katanya.

“Bukan bermakna peranan dan amanah yang diletakkan di atas bahu Timbalan Perdana Menteri dalam jawatankuasa induk yang memantau Esscom bersama Ketua Menteri Sabah itu diserahkan kepada saya,” katanya.

Tambah beliau, secara kesimpulannya tugasan baharu itu adalah penambahan kepada sistem sedia ada.

Ditanya mengenai perancangannya dan tumpuan yang akan diberikan dalam jawatan baharu itu selain Esscom, Hishammuddin berkata, fokus akan diberikan kepada keselamatan Sabah dahulu dan perkara selanjutnya akan dibincang bersama Perdana Menteri.