P. WAYTHA MOORTHY
P. WAYTHA MOORTHY

Pengerusinya, P. Waytha Moorthy berkata, tuntutan yang dibuat semalam melalui gerakan diketuai oleh P. Uthayakumar dengan menggunakan nama Hindraf 2.0 adalah tidak mewakili Hindraf.

Kata Waytha Moorthy, tindakan diketuai oleh Uthayakumar yang juga merupakan abangnya sendiri, telah mencetuskan kekeliruan, kemarahan serta kebencian dalam kalangan rakyat.

“Tiada organisasi bernama Hindraf 2.0 dan Uthayakumar merupakan pemimpin Parti Hak Asasi Manusia. Beliau tidak pernah menyertai sebarang aktiviti Hindraf sejak 2008 kerana mahu mewujudkan partinya sendiri.

“Kami ingin menjemput Uthayakumar supaya secara rasmi menyertai sebagai ahli Hindraf jika beliau mahu. Mengelirukan orang ramai dengan menggunakan nama yang sama seperti Hindraf tidak membantu perjuangan kami untuk mencari penyelesaian mutlak dan komprehensif terhadap masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara tuntutan dibuat oleh kumpulan diketuai Uthayakumar itu ialah pemberian tanah rancangan seperti Felda serta peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) terutama kepada kaum India berpendapatan rendah.

Waytha Moorthy dan Uthayakumar merupakan antara aktivis Hindraf di awal penubuhan pertubuhan itu, namun kedua-dua mereka dilaporkan hilang persefahaman terutama apabila Waytha Moorthy dikatakan menjalin hubungan baik dengan Barisan Nasional (BN) termasuk diangkat menjadi anggota Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).-UTUSAN ONLINE