Pengerusi Maahad Tahfiz Al Quran Qasimul Ulum, Ustaz Alauddin Ishak berkata, tindakan pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai itu merupakan provokasi agama yang melampau dan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“Kami mendesak pihak-pihak yang terlibat dalam membuat provokasi agama seperti ini dikenakan tindakan tegas termasuk dilucutkan hak sebagai warganegara sebagai pengajaran supaya perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan.

“Pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan perlu memberi amaran seterusnya mengambil tindakan tegas kepada individu yang menyalahgunakan media sosial seperti yang dilakukan oleh negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis yang turut dihadiri kira-kira 50 warga tahfiz di Balai Polis Gombak, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-Zahrah, Mohd Azreey Aznan memaklumkan, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis tersebut bagi mewakili ibu bapa pelajar tahfiz yang bimbang tentang masa depan anak-anak mereka apabila melihat sensitiviti isu keagamaan yang dipandang rendah oleh segelintir pihak. - UTUSAN ONLINE