Pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Akta Hasutan 1948 dan Perlembagaan Persekutuan mempunyai pelbagai peruntukan untuk membendung sebarang perbuatan mencerca institusi tersebut.

"Persoalannya kita tidak cekap menggunakan penguatkuasaan hingga mudah diperlekehkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya berpendapat undang-undang baharu tidak perlu. Buktikan dulu kita cekap jalankan tugas dan tanggungjawab di bawah undang-undang sedia ada.

"Peruntukan berhubung menyerang dan memperkecilkan Yang Dipertuan Agong sudah ada dalam Kanun Keseksaan, kenapa tak dilihat itu dulu. Kenapa tiba-tiba hendak buat undang-undang baharu sedangkan kita sudah ada kira-kira 987 undang-undang utama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari ini berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang baharu bagi melindungi kesucian institusi diraja daripada dipersenda.

Dalam pada itu, Rais yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berpendapat bahawa hukuman terhadap mereka yang menghina raja di negara ini adalah memadai.

"Dia (menteri) hendak hukuman berapa tahun? Kalau hukuman lebih 10 tahun okay la. Saya minta beliau huraikan dulu undang-undang baharu ini. Kebanyakan orang apabila dengar undang-undang baharu, bagus. Tapi saya mengetahui (undang-undang), kita tak harus terima saja cakap menteri," katanya.

Menurutnya, walaupun kenyataannya berhubung perkara itu bertentangan dengan pandangan kerajaan, namun beliau menyatakannya atas pengetahuan undang-undang dan bukan untuk mencari populariti.

Rais berkata, tidak menjadi kesalahan kepada rakyat mengkritik institusi diraja namun ia mestilah dilakukan secara berhemah dan tidak menghina. - UTUSAN ONLINE