Presiden Pertubuhan Inpirasi Melayu Gombak (Impak), Datuk Zul Azhari Mohamed Juah berkata, tindakan segera perlu diambil terhadap tindakan provokatif dari mana-mana individu yang menolak prinsip taat setia kepada raja.

Menurutnya, terdapat beberapa siri serangan yang telah dilancarkan melalui media sosial dengan menghasut dan menanamkan sifat benci kepada institusi diraja.

“Kami percaya agenda mereka adalah untuk menghancurkan institusi diraja di negara ini sete­rusnya membina sebuah negara republik dan apa yang berlaku itu adalah satu tindakan biadab serta melanggar rukun negara.

“Sehubungan itu, siasatan perlu dijalankan segera agar perkara ini dapat dibendung daripada terus dimainkan individu tertentu bagi agenda politik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini.

Turut hadir sama membuat laporan polis iaitu Pertubuhan Waris Keturunan Anak Minang Malaysia (Wakan) yang diwakili Presidennya, Tuan Putera Jefrizal Tuan Jasman.

Mengulas lanjut, Zul Azhari turut mengingatkan supaya mana-mana individu yang masih berte­rusan mempertikaikan kuasa dan hak institusi diraja agar menghentikan segera niat mereka.

“Kami menolak sekeras-keras­nya sebarang percubaan jahat untuk menghina dan memperlekehkan insti­tusi raja-raja Melayu.

“Sehu­bu­ngan itu, jangan sesekali cuba-cuba mengheret rakyat untuk tidak lagi menghormati dan mendaulatkan raja-raja yang menjadi lambang sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini,” katanya.