Menurut wakil kumpulan NGO itu, Noraini Hussin, pihaknya menerima maklumat pada 6 Jun lalu mengenai tindakan pemilik akaun laman sosial terbabit yang dikatakan memuat naik kenyataan bersifat jelek terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, kami menuntut pihak berkuasa supaya dapat melaksanakan siasatan termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan. Pada masa sama, kita juga minta dia memohon maaf secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, di sini hari ini.

Antara NGO yang bernaung di bawah MAIS bersama-sama membuat laporan polis tersebut ialah Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (Bakewanis), Persatuan Halaqah Al-Quran Selangor dan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Damansara Utama.

Dalam pada itu, Noraini turut mengingatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang menghina Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja-raja Melayu yang merupakan antara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, beliau tidak menolak bahawa sejak kebelakangan ini difahamkan wujud pihak-pihak cuba mempersoalkan hak serta kedudukan institusi raja-raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi media sosial. - UTUSAN ONLINE