Bagi Timbalan Presiden Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Ismail Mina Ahmad, perkara itu berlaku akibat kelalaian kerajaan mengurus kebebasan yang ditawarkan kepada rakyat.

Kata beliau, slogan Malaysia baharu yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa bersama agenda pemikiran bebas serta keterbukaan tanpa batasan seterusnya membuatkan sesetengah individu menjadi berani untuk menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Isu ini sudah bermula lama dan semakin menjadi-jadi sekarang dengan slogan Malaysia baharu. Ini adalah pemangkin. Malaysia baharu yang di dalamnya ditanam konon-kononnya pemikiran bebas.

“Inilah golongan-golongan yang sudah lama (menyimpan) dendam kesumat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dalam hati mereka sudah dibakar (sentimen kebencian) cuma dikawal oleh budaya menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tentang kelakuan sesetengah pihak yang semakin berani menghina Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam.

Beliau berkata, kebimbangan yang dizahirkan Sultan Selangor itu menandakan ahli politik yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara ini telah gagal mengurus kebebasan rakyat sehingga memaksa institusi diraja campur tangan.

“Institusi diraja terpaksa campur tangan dan kita harus berterima kasih kepada Tuanku Sultan,” katanya. - UTUSAN ONLINE