Perhimpunan yang dianjurkan hasil kerjasama Jabatan Perdana Menteri dengan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) itu diadakan bertujuan menzahirkan mesej keamanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga kepada dunia.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang memaklumkan, perhimpunan tersebut akan bermula pukul 7 pagi dengan peserta berkumpul di depan bangunan Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada pukul 7.45 pagi.

Beliau memberitahu, program juga telah diaturkan di Dataran Merdeka dengan wakil-wakil setiap agama yang telah dikenal pasti akan diberi peluang untuk berucap membawa mesej kedamaian.

"Saya juga akan berucap, mewakili umat Islam, Mufti Wilayah Persekutuan akan berucap. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diberi peluang.

"Beberapa artis turut dijemput untuk menyerikan perhimpunan. Di akhir perhimpunan nanti iaitu kira-kira pukul 11 pagi, akan ada deklarasi kedamaian dari Kuala Lumpur untuk menzahirkan mesej keamanan dan kedamaian Malaysia," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bangunan Parlimen semalam.

Pada perhimpunan itu juga, solidariti kepada mangsa kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand akan dizahirkan dengan duta negara itu turut dijemput hadir.

Mujahid dalam pada itu memberitahu, perhimpunan tersebut walau dirancang dalam tempoh singkat tetapi telah dimaklumkan kepada pelbagai pihak termasuklah parti-parti politik pembangkang khususnya wakil-wakil rakyat mereka.

Beliau berkata, tiada agenda politik dalam penganjuran perhimpunan itu dengan semua peserta diminta memakai baju berwarna putih sebagai simbol keamanan.

"Cumanya jangan bawa bersama logo parti-parti politik, ini perhimpunan kedamaian. Dan diharapkan juga tiada sabotaj dalam perhimpunan itu dengan agenda lain," ujar beliau sambil merujuk kepada kejadian sabotaj dalam satu perhimpunan di ibu negara baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mujahid menyeru semua pihak untuk bersama-sama dengannya hadir ke himpunan tersebut sebagai tanda solidariti kepada kedamaian dan keamanan. - UTUSAN ONLINE