Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perhimpunan itu dianggap sebagai isyarat kepada kesemua 222 ahli Parlimen mengenai hasrat umat Islam di negara ini untuk meminda Akta 355.

“Sebelum ini, ada pihak yang mempertikaikan perhimpunan ini. Kononnya tidak memberi sebarang makna kerana pindaan undang-undang bukan dilakukan di Padang Merbok sebaliknya di Parlimen.

“Namun, saya tegaskan perhimpunan ini amat bermakna untuk menyalurkan suara umat Islam ke Parlimen agar 222 ahli Parlimen dapat mendengar suara umat Islam bagi meminda Akta 355,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum Himpunan Solidariti Ummah di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Profesor Datuk Mahamad Naser Disa.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas merangkap Pengarah Himpunan RUU 355, Nasrudin Hassan menjelaskan, perhimpunan berkenaan diadakan untuk kepentingan agama Islam dan bukannya bermotifkan politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau memberitahu, dalam perhimpunan semalam, puluhan ribu umat Islam tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik hadir bagi menunjukkan sokongan.

“Tiada (politik pilihan raya). Kita buat perhimpunan itu untuk kepentingan umat islam.

“Semua umat Islam tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik hadir,” ujarnya yang juga ahli panel forum berkenaan. - UTUSAN ONLINE