Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pada hari perhimpunan berlangsung bagi memastikan keselamatan di kawasan sekitar terjamin.

“Perhimpunan itu adalah sah mengikut undang-undang setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah APA 2012.

“Selain itu, APA 2012 juga tidak menyatakan menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk ber­arak, jadi kami akan mengerahkan polis yang mencukupi untuk memantau perhimpunan tersebut.

“Namun, kami akan memantau secara dekat perhimpunan tersebut dari segi ucapan-ucapan. Jika ada ucapan berbaur hasutan atau menyentuh perkara-perkara sensitif, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid mene­gaskan, PDRM tidak pernah bersetuju dengan himpunan jalanan oleh mana-mana pihak.

“Saya sejak mula lagi tidak pernah bersetuju dengan himpunan jalanan tetapi mereka hendak buat juga.

“Sama macam perhimpunan Bersih 4.0. Sudah dilarang tapi hendak buat juga,” ujarnya.

Sementara itu, Khalid turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan mesej disebarkan yang menyentuh isu perkauman.

“Janganlah percaya dengan mesej yang disebarkan bahawa masyarakat Cina tidak dibenarkan keluar pada 16 September ini,” katanya.