Himpunan yang diadakan di pekarangan Masjid Sultan Idris Shah II, bermula sebaik sahaja para jemaah selesai menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di sini.

Antara NGO yang mengemukakan bantahan tersebut ialah Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Cawangan Perak.

Selain ucapan oleh wakil NGO dan pemimpin pemuda dari parti pembangkang, mereka turut memegang plakad yang tertulis kata-kata tegas seperti mendesak hubungan diplomatik bersama Myanmar diputuskan.

Timbalan Yang Dipertua Ikram Perak, Mohd. Fahmy Sarangat berkata, rakyat di negeri ini perlu bersatu memberikan sokongan kepada etnik Rohingya dalam segenap aspek.

“Malaysia harus bersama-sama dalam konteks kemanusiaan supaya pelarian Rohingya tidak rasa keseorangan dan kerajaan perlu serius melalui usaha-usaha yang lebih praktikal dan jelas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Himpunan Selamatkan Rohingya: Rohingya Menangis Siapa Peduli turut diadakan di dua lokasi berbeza anjuran Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) iaitu di hadapan Masjid Ridzwaniah dan di Menara Jam Besar Kuala Kangsar.