Cukup membimbangkan apabila iklan seperti itu boleh dilihat di mana-mana, apatah lagi media sosial dan Internet yang menjadi platform pemasaran paling popular.

Ayat berbentuk seksual sering digunakan dengan tujuan untuk melariskan produk. Adakalanya, ayat digunakan tidak berlapik, jelas membawa mesej ‘kotor’ yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Pengiklanan tidak bermoral bukan isu baharu, malah sudah sekian lama berlaku. Beberapa tahun lalu, seorang wanita menerima kecaman hebat kerana mempromosikan produk kesihatan alat sulit lelaki secara terbuka menerusi sebuah rancangan di stesen televisyen tempatan.

Turut mencetuskan kontroversi, papan iklan bersaiz mega yang memaparkan produk gambir dengan tagline kurang sopan kelihatan di sebuah lokasi sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan pada 2016. Iklan tersebut mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Dalam pada itu, wujud segelintir pengusaha produk kesihatan dan suplemen yang tidak segan dan secara berterusan memuat naik iklan berunsur lucah di laman sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Kesan iklan yang membawa mesej negatif adalah besar kerana khalayak yang menyaksikannya terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Bayangkan pengaruhnya terhadap anak-anak kecil yang tidak tahu menapis perkara yang ditiru, sama ada mendatangkan kesan positif atau negatif.

Adakah kita mahu membiarkan generasi kita meniru perbuatan menulis atau menyebut perkataan lucah serta menunjuk isyarat lucah sebagaimana yang dipaparkan dalam iklan tersebut?

Mungkin ada yang menganggap isu ini sebagai sesuatu yang remeh, namun perlu diingat isu-isu sosial remaja di negara ini juga banyak disebabkan oleh pengaruh industri media.

Setuju atau tidak, nilai-nilai agama dan budaya positif banyak terhakis disebabkan faktor pendedahan terlalu banyak terhadap gejala negatif dari pelbagai sumber media.

Mungkin, sudah tiba masanya undang-undang sedia ada diperbaharui untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahana yang dibawa pengiklanan yang tidak bermoral ini.