RAIS YATIM

Penasihat Sosiobu­daya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Majlis Penasihat Tetap untuk Raja-Raja Melayu dan Kerajaan itu telah dicadangkan dalam be­be­rapa penganjuran pra­-­kongres budaya sebelum ini oleh para cendekiawan yang mahu melihat adat dan budaya Melayu terus di­semarakkan.

“Majlis Penasihat Tetap untuk Raja-Raja Melayu dan Ke­rajaan ini kita akan pohon kepada Per­da­na Menteri, Da­tuk Seri Najib Tun Razak supaya di­le­takkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.

“Anggota penasihat majlis ini mesti berani memberi nasihat kepada raja-raja Melayu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung hal ehwal budaya dan adat Melayu supaya ia dapat terus diterapkan dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika diwawancara Utusan Online mengenai Kongres Budaya 2017 yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), esok.

Kongres Budaya 2017 itu merupakan kerjasama antara kerajaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mencari idea-idea baharu yang boleh diketengahkan dalam usa­ha memperkasakan budaya dan adat Melayu.

Kongres yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 1971 itu membabitkan peng­libatan lebih 80 jabatan kerajaan serta 350 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rais yang juga Pengerusi Jawatan­kuasa Induk Kongres Budaya 2017 berkata, soal budaya dan adat Melayu mesti diterapkan sejak di bangku sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dan perkara itu memerlukan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan.

“Program asuhan budaya bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti mesti dimulakan dengan segera jika kita mahu adat dan budaya Melayu berjaya diterapkan dalam kalangan masyarakat kita.

“Jika kita lihat masyarakat Jepun, kanak-kanak di pra-sekolah diterapkan dengan budaya Jepun terlebih dahulu, diasuh bagaimana untuk mengucapkan salam dalam bahasa Jepun sebelum diajar dengan perkara-perkara lain,” katanya.

Tambah Rais, parti-parti politik juga perlu memainkan peranan dan menunjukkan contoh dalam penerapan adat serta budaya Melayu kepada masyarakat.

“Setiap parti politik ada kandungan bahasa dan budaya Melayu yang tersendiri tetapi ia tidak diamalkan oleh itu saya harap parti politik dapat membantu perkembangan adat dan budaya Melayu,” katanya.