Penduduk mendakwa sebelum menyertai projek ladang sawit berkenaan mereka dijanjikan pendapatan melebihi RM1,000 namun, sebaliknya berlaku apabila kadar gaji diterima masih di bawah paras kemiskinan.

Seorang peserta, Tuan Hamid Tuan Amran, 57, berkata, dia menerima pendapatan bersih antara RM250 dan RM500 sebulan sejak tinggal di situ kira-kira lapan tahun lalu.

Katanya, pendapatan seba­nyak itu tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

“Kami rasa tergugat apabila pendapatan upah kerja ladang sawit sebelum ini RM160 sehektar akan diturunkan dalam masa terdekat kepada RM110 sehektar.

“Kami rasa sedih dengan pihak pengurusan apabila pendapatan semakin menurun dan paling teruk berada dibawah paras kemiskinan sekiranya tidak ada pembelaan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan per­jumpaan menuntut pengurusan ECER memberi pembelaan terhadap nasib hidup peserta di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini, semalam.

Masalah itu turut diluahkan kepada Ahli Dewan Undangan Nengeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang hadir bersama pada perjumpaan berkenaan.

Seorang lagi peserta, Husnizadni Yusoff, 43, pula berkata, jika masalah itu gagal diselesaikan kemungkinan mereka akan memberhentikan persekolahan anak-anak.

Katanya, terdapat ibu bapa yang belum menghantar anak me­reka ke sekolah kerana tidak mampu menampung perbelanjaan.

“Kita juga hairan peserta yang bekerja di ladang kelapa sawit itu tidak sama keluasannya hingga ada tiga, empat dan lima hektar menyebabkan pendapatan tidak sama setiap bulan.

“Kalau kami diupah bekerja di ladang sawit kenapa kami tidak ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Mana kebajikan atau perlindungan masa depan kami apabila hari tua nanti atau jika berlaku kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Ab. Aziz Yusoff memohon agar peserta bersabar kerana percaya pihak pengurusan masih mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.