Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang yang merupakan petempatan Felda pertama di negara ini kini mencapai ke generasi kelima dan dilihat menjadi cerminan kepada masa depan generasi baharu tanah rancangan itu di seluruh negara.

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mengupas permasalahan yang dihadapi oleh generasi baharu di Felda berkenaan yang ditubuhkan pada 1959 bagi melihat gambaran keseluruhan masa depan mereka.

 

BENTONG 22 Nov. -  Nasib dan masa depan generasi baharu Felda Lurah Bilut di sini kelihatan masih samar apabila mereka terus dihimpit kesukaran dalam menyara kehidupan seharian.

Seorang penduduk dari ge­nerasi kedua Felda, Ibrahim Mohd. Shah, 66, berkata, kejatuhan harga kelapa sawit ketika ini menambah kesukaran mereka yang masih tinggal dan bergantung kepada hasil di ta­nah rancangan berkenaan.

Katanya, purata pendapatan yang diperolehnya sepanjang 10 bulan pertama tahun ini adalah di bawah paras kemiskinan memandangkan dia terpaksa membahagikan hasil dengan adik-beradiknya yang lain.

“Dengan harga sawit yang masih rendah, bayaran yang saya dapat dari Felda hanya kira-kira RM700 sebulan ditambah sara diri sebanyak RM900.

“Hasil sebanyak RM1,600 itu saya bahagikan dengan tujuh adik-beradik lain yang mana purata seorang mendapat RM230 sebulan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, dengan keadaan yang dialaminya itu, kelihatan agak mustahil generasi seterusnya akan tinggal di tanah rancangan itu.

Seorang lagi dari generasi kedua, Basri Sarji, 57, berkata, dia terpaksa berhijrah dan be­kerja di luar tanah rancangan memandangkan pendapatan di Felda tidak membolehkannya meneruskan kehidupan.

Katanya, dia membulatkan tekad berpindah dan bekerja serta berniaga di Selangor bagi menampung keperluan keluarganya.

“Saya terpaksa berpindah bagi menyara keluarga dan saya sering pulang ke Felda untuk menziarahi ayah,” katanya.