Menurut bapanya, Khairizam Abdul Rani, 42, kejayaan anak tunggalnya itu yang menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta atau tulang rapuh hadir ekoran sikapnya sendiri yang cukup berdisiplin dalam menelaah pelajaran.

"Sejak Julai lalu, anak saya mengalami tiga kecederaan antaranya retak tulang lutut, pecah tulang siku serta tendon koyak di bahagian belakang badan. Akibat keadaan tulangnya yang rapuh, kesemua kecederaan itu mengambil masa berbulan lamanya untuk pulih.

"Ekoran itu, dia dinasihatkan doktor supaya tidak ke sekolah sejak Julai 2017. Bagi memastikan pelajarannya tidak terjejas, saya menetapkan jadual pelajaran untuknya setiap hari dan Alhamdulillah, Anis cukup berdisiplin dalam mematuhinya," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Temusu, dekat sini hari ini.

Tambahnya, lebih daripada itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau itu seakan mengambil inisiatif sendiri untuk mengulangkaji pelajaran setiap malam hingga ada kalanya menjangkau hingga pukul 12 tengah malam.

"Sepanjang duduk di rumah, tiada guru yang mengajarnya dan dia tidak dihantar ke mana-mana pusat tuisyen.

"Apa yang saya lakukan hanyalah memberi bahan bacaan terbaik kepadanya dan Anis akan bertanya kepada saya jika ada yang dia tidak faham. Syukur di sebalik ujian kesihatan yang diberi kepadanya, Anis dikurniakan kebolehan untuk cepat 'menghadam' segala ilmu dipelajari dengan dia sememangnya sering mendapat kedudukan terbaik sejak dari darjah satu lagi," katanya.

Tambahnya selepas ekoran kecemerlangan Anis, beliau berharap dapat menempatkan anaknya di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, berhampiran rumahnya.

"Ekoran masalah dihadapinya, saya berharap pihak kementerian dapat memberi kelonggaran supaya menerima Anis belajar di situ tanpa perlu dia tinggal di asrama.

"Keadaan tulangnya sangat rapuh sampaikan kalau terkejut atau tersadung sekali pun sudah cukup untuk mendatangkan kecederaan. Jadi saya harap Anis diberikan pengecualian khas untuk tidak tinggal di asrama," katanya.

Sementara itu Anis berkata, dia berazam untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dan mencapai cita-citanya menjadi pakar pediatrik.

"Sejak kecil saya kerap ke hospital dan berjumpa dengan doktor pediatrik. Saya tertarik dengan kerjaya mereka dan berharap untuk membantuk mengubati kanak-kanak apabila dewasa nanti," katanya. - UTUSAN ONLINE