Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, penjelasan penting bagi mengelak andaian-andaian negatif yang berlegar dalam masyarakat.

Beliau berkata, agihan bonus itu sudah tentu mengejutkan 9.3 juta pendeposit Tabung Haji yang tidak pernah menerima bonus serendah itu sebelum ini.

"Kita pun rasa amat terkilan sebab selama ini tidak pernah terima serendah ini, rakyat perlu diberi pendedahan sebaiknya khususnya 9.3 juta pendeposit yang sudah tentu tertanya-tanya dan terkilan," katanya selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Industri Mineral negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan agihan rendah itu adalah usaha pihak tertentu melemahkan institusi kewangan Islam, Ahmad berkata, andaian sebegitu hanya boleh ditangkis jika penjelasan diberi kepada rakyat  

"Kita perlu melihat perkara ini secara keseluruhan sebab-sebabnya, sebab itu penjelasan yang teliti perlu supaya tidak ada andaian sebegitu," katanya. - UTUSAN ONLINE