Menurut Tabung Haji, dalam laporan polis tersebut pihaknya mendakwa telah mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji dalam dua Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah pada 6 dan 9 Februari 2018.

Jelas Tabung Haji, kertas kerja eksekutif itu disediakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Datuk Rozaida Omar serta disokong Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Johan Abdullah.

"Kertas kerja itu mengandungi kenyataan dan pembentangan yang membawa kepada maklumat salah yang digambarkan dalam penyata kewangan berkenaan yang dipersetujui oleh Lembaga Pengarah,"menurut agensi itu.

Atas asas penyata kewangan itu, Lembaga Pengarah Tabung Haji membuat cadangan kepada menteri yang bertanggungjawab yang kemudian meluluskan pengisytiharan hibah bagi tahun kewangan 2017 iaitu Hibah Tahunan 4.5 peratus dan Hibah Haji 1.75 peratus bertentangan dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

Penyata kewangan Tabung Haji yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 itu ditandatangani pada 3 April 2018 oleh Pengerusinya pada waktu itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak Lembaga Pengarah dan Rozaida sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam soal kewangan serta rekod perakaunan.

Menurut Tabung Haji, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini itu merupakan kali tiga dilakukan oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu agensi tersebut setelah melakukan kajian mengenai kedudukan kewangannya sejak dilantik pada Julai 2018. - UTUSAN ONLINE