Teh Chai Ann
Teh Chai Ann

Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Mata Ayer ditutup akibat penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Kesihatan negeri, Teh Chai Ann memberitahu, dua premis tersebut ditutup bermula semalam sehingga 30 Julai ini bagi mengelak wabak tersebut daripada terus merebak kepada individu lain.

Katanya, jumlah murid yang dijangkiti HFMD di taska Bonda Ceria, Taman Haz Melati, Beseri adalah sebanyak tiga orang dengan 15 kanak-kanak lain dikhuatiri terdedah jika taska itu masih beroperasi.

“Di prasekolah Anjung Budi, SK Oran pula melibatkan dua murid dijangkiti HFMD dengan 25 orang kanak-kanak terdedah dengan penularan wabak itu,” katanya di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi itu, pada masa ini, kes penularan wabak berkenaan tidak begitu serius, bagaimanapun pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Pihak Jabatan Kesihatan sentiasa berwaspada termasuk akan mengarahkan sesuatu premis atau kelas itu ditutup jika didapati mana-mana individu dijangkiti wabak berkenaan termasuk melibatkan satu atau kes sahaja,” katanya.

Sebelum ini, kelas prasekolah SK Paya, Padang Besar turut diarah tutup selama dua minggu bermula 13 Julai lalu akibat penularan wabak tersebut.

Untuk rekod, HFMD ialah satu penyakit yang disebabkan oleh virus dan gejala penyakit itu adalah seperti demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki serta ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.- UTUSAN ONLINE