Menteri Kesihatan, Dr. Dzul­kefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, hampir 90 peratus kes yang dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah.

Menurutnya, kebanyakan nege­ri menunjukkan peningkatan kes pada tahun ini berbanding pada tahun lalu dengan Selangor menca­tatkan jumlah tertinggi iaitu 13,901 kes.

“Kumulatif semasa kes HFMD untuk dua hari kebelakangan ini pula menunjukkan trend menurun dengan 710 kes telah dilaporkan di seluruh negara semalam.

“Sehingga kini, sebanyak 701 premis termasuk sekolah, taska dan prasekolah telah ditutup akibat wabak berkenaan namun, ada antaranya telah dibuka secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bagi mempromosikan langkah pencegahan penyakit HFMD di Dewan Perdana Nur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, Kementerian Kesihatan sedang giat menjalankan program perjum­paan atau mesyuarat town hall bagi mempromosikan amalan-amalan kesihatan utama dalam mencegah HFMD.

“Sejak dilancarkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 633 mesyuarat telah dijalankan dengan melibatkan guru-guru dan pengusaha daripada 6,714 taska, tadika, tabika dan prasekolah.

“Kejayaan melaksanakan mesyuarat ini juga menunjukkan komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam menangani wabak penyakit berkenaan daripada terus merebak,” katanya.