Ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-19 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Korea Utara perlu kembali semula ke meja rundingan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.

Menurut Perdana Menteri, sidang kemuncak yang diadakan semalam itu dihadiri oleh semua pemimpin negara anggota ASEAN dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

“Para pemimpin ASEAN menga­lu-alukan kehadiran Presi­den Moon yang buat pertama kalinya menghadiri sidang kemun­cak ASEAN-Korea Selatan sejak dilantik menjadi Presiden pada bulan Mei tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, para pemimpin ASEAN turut menyambut baik usaha Korea Selatan merapatkan jurang budaya di antara rantau ini dan negara itu dengan pembukaan ASEAN Cultu­­ral House di Busan pada September lalu.

Najib berkata, para pemimpin turut menyentuh usaha meningkatkan integrasi ekonomi setelah perjanjian perdagangan bebas ASEAN-Korea Selatan dimukta­madkan, selain membincangkan kerjasama dalam bidang sosio-budaya, khusus kepada program pendidikan, belia dan kesalinghubungan manusia.

Sidang Kemuncak juga telah menghasilkan tiga dokumen yang menyentuh mengenai pelan pelaksanaan kerjasama strategik dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran di antara rantau ini dengan negara tersebut.

Sementara itu, dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20 yang dihadiri Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, Najib berkata, para pemimpin telah mengadakan perbincangan yang produktif mengenai kerjasama, hala tuju masa depan serta pertukaran pendapat mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.

“Mengenai kerjasama politik-keselamatan, kami membincangkan kerjasama ASEAN dan Jepun mengenai pelbagai isu seperti membanteras keganasan dan jenayah merentas sempadan,” katanya.

Katanya, dari segi ekonomi, pemimpin ASEAN dan Jepun memainkan peranan penting dalam perbincangan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk mencapai persetujuan yang komprehensif dan bermanfaat kepada kedua-dua pihak.

Sidang Kemuncak menghasilkan dua dokumen hasil yang menyentuh mengenai kemajuan pelaksanaan kenyataan kerjasama visi persahabatan.

Dalam kenyataan itu, Najib juga menyatakan beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Abe pada hari pertama ketibaannya di sini, kelmarin. – UTUSAN