Ibrahim Ali

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, perkara yang melibatkan hal-hal agama dan perselisihan faham mengenai sesuatu perkara wajar dibincangkan dalam pertemuan secara tertutup.

“Semua mufti negeri merupakan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan apa salahnya mereka berkumpul dalam tempoh 24 jam untuk membincangkan isu pen­ting yang dibangkitkan daripada menggunakan media sosial sebagai perantara.

“Penggunaan media sosial khasnya akan menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kala­ngan masyarakat yang menunjukkan tidak ada persefahaman di antara mufti dan juga pakar agama,” katanya dalam program Bicara Khas bersama Perkasa di sini hari ini.

Beliau mengulas perselisihan pendapat dalam kalangan mufti dan pakar agama mengenai isu berkenaan status bapa kepada anak luar nikah yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini.

Ibrahim berkata, per­kara itu bukan pertama kali berlaku, malah ia sudah menjadi satu amalan dalam kalangan pakar agama untuk menyuarakan pendapat mereka secara terbuka melalui laman sosial dan media.

Menurutnya, perdebatan secara terbuka terutama dalam media sosial untuk menyuarakan pendapat akan mengundang persepsi rakyat lebih-lebih lagi isu sensitif seperti agama.

“Pendapat tersebut boleh diakses oleh semua pihak dan tindakan mufti itu menjadi perhatian orang ramai yang secara tidak langsung boleh memburukkan nama baik agama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim tetap dengan pendiriannya yang menyatakan Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Pas gagal menjadi sebuah negeri maju walaupun parti itu sudah 26 tahun memerintah negeri itu.

Menurutnya, Kelantan sebenarnya mempunyai banyak potensi terutama dari segi pelancongan namun mereka gagal mentadbir negeri itu untuk menarik perhatian pelancong ­asing.