Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Presiden Donald J Trump juga telah me­ngarahkan pegawai-pegawainya mengkaji bentuk bantuan kemanusiaan yang boleh disalurkan kepada mangsa keganasan itu.

“Apabila saya perjelaskan kepada Trump tentang apa yang berlaku dan implikasinya, beliau telah mengarahkan supaya dikeluarkan satu kenyataan supaya keganasan terhadap Rohingya dihentikan,” kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja tiga hari beliau ke AS di sini.

Menurutnya, beliau tidak fikir kenyataan seperti itu akan dikeluarkan AS tanpa peranan Malaysia yang dalam pertemuan tersebut telah membawa isu ini ke tengah seperti yang dijanjikan.

“Jadi saya telah tunaikan jan­ji untuk bawa isu ini kepada Presiden Trump,” kata Perdana Menteri yang mengulas kenyata­an bersama yang dikeluarkan berkaitan isu tersebut selepas pertemuan beliau dengan Trump di White House.

Sebelum bertolak ke AS, Najib berjanji untuk membangkit­kan isu penindasan terhadap masyarakat Islam Rohingya ke pengetahuan pemimpin AS itu. 

Lebih 379,000 etnik Rohing­ya dilapor melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

Najib berkata,  Malaysia akan te­rus menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menggunakan pengaruh melalui badan-badan seperti Pertubuhan Kerjasama Is­lam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperjuangkan nasib penduduk Rohingya.

Ditanya mengenai kerjasama ASEAN dalam isu itu, Najib berkata, ia adalah isu kemanusiaan yang sememangnya menjadi prinsip yang dipegang oleh pertubuhan negara serantau itu.

“Apa yang berlaku tidak dapat diterima sama sekali. Kita tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain tetapi ini memberi kesan kepada imej dan keselamatan negara ASEAN yang lain. Justeru, kita bertanggungjawab untuk memberikan pendapat,” katanya. – UTUSAN