Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, langkah itu tidak terkandung dalam peraturan tatatertib Perintah Am Bab B, justeru, tiada sebarang tindakan boleh diambil terhadap penjawat awam yang terlibat kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan ketua-ketua jabatan supaya menghentikan amalan sedemikian, dan surat pekeliling mengenainya akan dikeluarkan kepada semua peringkat termasuk badan berkanun dan kerajaan negeri.

“Ramai kalangan ketua jabatan menggunakan amaran secara pentadbiran ini kerana mahu dilihat sebagai pegawai yang baik kepada kakitangan di bawahnya.

“Sebab itu sekarang kita minta mana-mana jabatan jika berdepan situasi ini maka nyatakan dengan jelas sama ada pegawai itu bersalah atau berikan amaran, dan bukan hanya amaran pentadbiran semata-mata.

“Amaran secara pentadbiran bukan satu bentuk hukuman, berbanding dengan amaran tatatertib yang ada ketika ini yang membolehkan kakitangan berdepan hukuman antaranya termasuk dipotong gaji, tiada peluang kenaikan pangkat untuk setahun hinggalah ke buang kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Khas Bersama Penjawat Awam Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Mohtar Mohd. Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Ali menarik perhatian, penjawat awam perlu mengamalkan konsep kepelbagaian tugas bagi mengelak pembaziran tenaga kerja sekali gus boleh menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan mengguna pakai konsep bekerja turun padang ‘seek and assist’ selaras untuk mendapatkan dan membantu mana-mana rakyat yang memerlukan pertolongan khususnya dalam soal kebajikan.

Ujarnya, sebagai mata dan te­linga kerajaan yang efektif, pe­ranan itu akan dimainkan oleh k­esemua 1.61 juta kakitangan awam di negara ini.

“Kita tidak perlu tunggu di pejabat mengharap mereka datang laporkan masalah. Jumlah penjawat awam kita mampu menjaga 30 juta rakyat di negara.

“Di peringkat negeri pun saya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk lihat cara ‘seek and assist’ ini,” katanya.