Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, surat peringatan sudah dikeluarkan kepada semua sekolah pada pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, beliau dibe­ritahu terdapat beberapa sekolah yang telah menangguhkan hari sukan mereka.

“Ini amat penting, sekarang kita menghadapi dengan kea­daan cuaca panas. Kita harapkan pihak sekolah tidak banyak menganjurkan program di luar dan di padang.

“Pihak sekolah perlu menggalakkan anak murid mereka minum air banyak. Dalam masa sama, kita harap ibu bapa juga dapat berpesan kepada anak-anak mereka supaya tidak terdedah kepada aktiviti luar, serta banyakkan minum air dan jaga kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Guru Ins­pirasi McDonald’s di Putrajaya hari ini.

Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Sementara itu, Maszlee memberitahu, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s merupakan pengiktirafan istimewa terhadap warga pendidik atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memberi yang terbaik melangkaui pembelajaran di dalam kelas.

Sehubungan itu, menurutnya, syarikat-syarikat swasta lain turut digalakkan untuk mengikut jejak langkah McDonald’s dalam menganjurkan program menghargai pengorbanan guru.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya akan memberi makanan percuma kepada lebih 450,000 guru seluruh negara pada 16, 17 dan 18 Mac depan sebagai penghargaan terhadap pengorbanan golongan itu mendidik anak bangsa.

“Para guru akan diberikan baucar untuk menebus satu set makanan percuma di mana-mana restoran makanan segera McDonald’s di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan,” katanya.