Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, pihak kementerian itu sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen antisawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

‘‘Perdana Menteri menasihati pekebun termasuk kementerian saya agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TERESA KOK
TERESA KOK 

Katanya, harga minyak sawit jatuh dengan agak teruk pada tahun lalu sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.

Justeru, katanya, adalah penting bagi pihaknya mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Teresa mencadangkan kepada pekebun supaya beralih kepada tanaman lain seperti buluh dan kelapa selaras dengan cadangan kerajaan menghentikan peluasan penanaman kelapa sawit di kawasan baharu seluruh negara.

Namun, tegas beliau, buluh, nanas dan kelapa adalah cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang selama ini bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan, dan bukan sebagai tanaman pengganti.

“Kenyataan saya semalam merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang, yang kebetulannya mempunyai banyak buluh,” katanya bagi menjelaskan laporan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh’ yang di­siarkan hari ini.

Teresa berkata, pemilihan tanaman alternatif bergantung kepada kesesuaian tempat supaya mampu memberikan pendapatan yang baik, sekaligus mampu menampung kekurangan pendapatan daripada jualan sawit.