Menurut vokalis kumpulan itu, Michael Kiske, Helloween akan mengadakan persembahan selama tiga jam pada konsert yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia selepas 34 tahun ditubuhkan yang mana beliau salah seorang anggota asal kumpulan itu.

“Konsert ini juga meraikan lebih tiga dekad Helloween ditubuhkan dan bergelumang dalam dunia muzik heavy metal. Kami akan menyanyikan banyak lagu-lagu lama Helloween daripada era tahun 1980-an sehinggalah kini termasuk secara medley,” katanya.

Pada sidang akhbar di Hotel Marriott, Putrajaya itu, Helloween ujarnya amat berbesar hati kerana para peminat di rantau Asia Tenggara masih meminati mereka yang mana 10 tahun lalu mereka juga pernah mengadakan konsert di Singapura dan Indonesia.

Selain Kiske, Helloween yang turut dianggotai Andi dan Michi selaku vokalis, Kai Weiki serta Sascha selaku gitaris dan Markus selaku bassis, manakala Dani pula bertindak selaku pemain dram berharap para peminat akan terhibur dengan persembahan itu kelak.

“Kami akan cuba membawakan kelainan termasuk dengan adanya dua vokal yang berbeza termasuk cuba menyelitkan lagu-lagu lama kumpulan Gamma Rays yang pernah dianggotai oleh beberapa anggota Helloween sebagai tarikan,” ujarnya.

Helloween mula tampil dengan album pertama pada tahun 1985 bertajuk Walls Of Jericho selain beberapa buah album lain termasuk Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath dan Better Than Raw.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket konsert tersebut yang berharga daripada RM295 hingga RM800, sila hubungi 03-78807999 atau layari www.ticketpro.com.my atau www.soundvalleyfestival.com. - UTUSAN ONLINE