Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid berkata penerbangan mengangkut keluar kesemua pelajar sekolah menengah itu akan diadakan selama tiga hari bermula 23 Jan ini.


"Persetujuan ini dicapai dalam mesyuarat bersama JAKOA dengan Unit Udara JBPM yang diadakan di Kuala Lumpur Selasa lepas. Pusat operasi pendaratan helikopter ditetapkan di Padang Pusat Sivik di bandar ini bagi memudahkan pelajar terbabit dihantar pula ke sekolah masing-masing," katanya kepada media di sini hari ini.

Hashim Alang berkata pelajar yang belum hadir ke sekolah kerana terkandas berikutan jalan balak menghubungi kampung mereka rosak teruk itu ialah 20 orang dari Pos Simpor, Bihai (26), Pos Tohoi (12) dan lapan lagi pelajar dari Pos Gob.

"Kesemua 66 pelajar itu adalah baki daripada seramai 151 pelajar yang terkandas sebelum ini. Bagaimanapun, 85 pelajar sudah dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang berani merempuh halangan jalan berlumpur," katanya.

Beliau berkata sebelum ini juga pernah beberapa kali pelajar kaum itu di kampung pedalaman dibawa keluar mengguna helikopter JBPM disebabkan jalan rosak kerana hujan berterusan pada musim tengkujuh.


Katanya, walaupun kos bagi penyediaan pengangkutan alternatif terakhir itu menelan belanja yang besar, ia perlu diteruskan dalam usaha mengelak pelajar Orang Asli ketinggalan dalam pelajaran.


"Jabatan memang sudah melantik beberapa kontraktor bagi mengangkut keluar pelajar Orang Asli di kampung pedalaman itu sejak sesi persekolahan dibuka seminggu lalu tetapi ada kampung tidak boleh dihubungi (melalui) jalan darat. 


"Kita juga dalam proses untuk menaik taraf jalan-jalan yang rosak itu termasuk ke Pos Balar dan kini masih dalam proses tender dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).


"Diharapkan untuk tahun akan datang dapat selesaikan sebahagian masalah jalan yang rosak itu bagi kemudahan penduduk Orang Asli keluar ke bandar ini," katanya. - BERNAMA