Mendedahkan bahawa hu­bungan mereka sudah men­­dapat restu keluarga ma­sing-masing, ini sekaligus men­dorong Naib Juara On Air ini untuk segera memperisterikan pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu.

“Kami sudah berbincang tentang itu (berkahwin). Insya-Allah jika tak ada halangan dan dengan rezeki Allah SWT untuk mempermudahkan se­gala-galanya, saya berharap agar urusan membina masjid bersama Uqasha ini berjalan lancar seperti dirancang bersama pada hujung tahun depan. Saya memang mahu memperisterikan dia dalam waktu segera tetapi kami perlukan masa untuk membuat persiapan.

“Persediaan dari segi persediaan mental, me­ngukuhkan kewangan sedia ada dan mendalami lagi ilmu agama dalam diri sendiri, sebelum saya menjadi ketua keluarga itu sangat pen­ting,” kata Hefny dalam pengakuan terbuka kepada Mingguan Malaysia

Saling mengenali antara satu sama lain sebagai rakan artis sejak tiga tahun lalu, bibit cinta antara mereka hanya hadir sekitar setahun yang lalu. Bertitik tolak dari situ kedua-duanya menjadi ra­pat sebelum bergelar pasangan kekasih.

Hubungan mereka hanya dapat dicium pihak media selepas kedua-duanya memuat naik gambar berdua di Instagram sejak dua bulan lalu sebelum tampil bersama di Anugerah Skrin 2017 yang berlangsung di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) pada awal November lalu.

Menjelaskan tentang pe­rancangan majlis pernikahannya itu lagi, pengacara Muzik-Muzik ini berjanji tidak akan merahsiakan hari bahagianya itu. Ini kerana, dia tidak mahu timbul salah faham berkaitan perkara elok itu pada kemudian hati, biarpun ada segelintir artis memilih cara sebegitu.

“Yang perlu dirahsiakan di sini adalah majlis pertuna­ngan, bukannya majlis pernikahan. Sebab utamanya terlalu banyak cabaran untuk orang bertunang maka ia dibolehkan untuk dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Pun begitu, semuanya terpulang kepada individu berkenaan.

“Saya memilih untuk ber­kongsi kepada umum apabila sampai masanya, itu janji saya. Benda yang baik, takkanlah saya nak berahsia asalkan kita tidak melanggar undang-undang dan norma masyarakat orang Melayu,” ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini lagi.

Berhubung penerimaan keluarga tentang hubungan cin­­tanya dengan Uqasha yang dikatakan penuh dengan cerita kontroversi, Hefny bersyukur kerana kedua orang tua dan ahli keluarga lain sentiasa memberi sokongan dan menghormati pilihannya itu.

Apa yang penting sebagai ketua keluarga adalah di pihak Hefny sendiri untuk sama-sama mem­bimbing Uqasha menjadi suri rumah tangga yang solehah dan memastikan keharmoni­an rumah tangga berkekalan hingga ke hujung nyawa.