Baginda bertitah, perpaduan sesama umat Islam perlu diperkukuhkan dan perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum wajib disuburkan.

Titah baginda, perkara itu amat penting dalam hasrat membina kehidupan yang damai lagi harmoni serta membangunkan negara yang aman makmur.

“Piagam Madinah digubal dengan wawasan yang jauh, mengunjurkan realiti komposisi penduduk dunia yang bakal dihadapi pada masa hadapan manakala Perlembagaan Merdeka pula digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang begitu pelbagai. 

“Negara ini dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa dan menganut pelbagai agama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Tahun 1440 Hijrah di Ipoh Convention Centre (ICC) di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. - UTUSAN ONLINE