Allahyarham Mohd. Sufian Resli, 38, yang bertolak menunaikan ibadah haji bersama ibu dan bapanya pada 27 Julai lalu meninggal dunia di Mekah akibat jangkitan paru-paru pada 6 September lalu.

Bapa Allahyarham, Resli Yusuf, 64, berkata, anaknya yang dikategorikan OKU kerana tidak dapat berjalan tidak menunjukkan perubahan ketara, sebalik­nya gembira ketika bertolak ke Tanah Suci.

Malah katanya, anak ketiga daripada enam beradik itu juga berada dalam keadaan sihat ketika bertolak sehingga selesai menunaikan ibadah haji.

“Kami reda dengan apa yang berlaku dan saya bersyukur me­­­lihat jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Ta­nah Suci.

“Tiada apa-apa yang pelik, cuma ibunya baru membe­ritahu kami bahawa sebelum pergi menunaikan ibadah haji, Allahyarham menyatakan ingin meninggal dunia di Mekah,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima kunjungan wakil Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di kediamannya di Taman Bukit Bendera di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husain.

Dalam pada itu Abdul Shukor berkata, dalam kunjungan tersebut, pihaknya menyampaikan sumbangan takaful khairat kematian, air zam zam dan kurma kepada waris jemaah.

Menurutnya, Tabung Haji te­­lah menguruskan pengebumi­an jenazah Allahyarham de­ngan sebaik mungkin di Tanah Perkuburan Syarai'e, Mekah.

“Kita berharap semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Kami turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mendapat keampunan ­Allah,” ujarnya.

Sementara itu beliau memberitahu, seramai 48 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada tahun ini termasuk empat dari Pahang.

Ujarnya, sehingga kini, pihak­nya telah melakukan ziarah ke 32 rumah waris jemaah yang meninggal dunia dan program tersebut akan dilakukan secara berterusan.