Pengasas dan penganjurnya, Jason Hee Jee Pin berkata, pihaknya mempunyai perancangan yang lebih besar untuk MMK kali ini dengan menjadikan pemenang pertanding­an itu sebagai wakil Malaysia ke ‘Miss & Mrs World Kebaya’ 2018.

“Pertandingan peringkat antarabangsa itu merupakan edisi pertama dan kita rancang untuk me­laksanakannya pada tahun depan.

“Kita menyasarkan 10 buah negara jiran di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand. Busana kebaya ini begitu sinonim de­ngan masyarakat di rantau ini. Ini merupakan misi besar MMK untuk membawa pakaian tradisi bersesuaian dengan objektif utama penganjuran iaitu mempromosi budaya dan pelancongan Malaysia,” ujarnya ketika sidang akhbar MMK 2017/2018 di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.

MMK kali ini disifatkan sebagai luar biasa kerana mendapat 500 penyertaan dari seluruh Malaysia iaitu berlaku peningkatan seba­nyak dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Di­sember depan akan membariskan seramai 21 finalis yang bakal me­rebut hadiah bernilai RM50,000.

“Sesi saringan telah bermula sejak September lalu. Perjalanan sepanjang pertandingan ini memakan masa hampir tiga bulan dan ia mempunyai dua kategori.

“Kategori pertama ialah untuk mereka yang masih bujang manakala yang kedua untuk wa­nita yang sudah berkahwin. Had umur peserta bermula daripada 18 hingga 50 tahun dan mereka (peserta) perlu mempunyai tinggi mi­nimum 160 sentimeter,” ujarnya.