Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang itu berkata, dia terpaksa pergi ke kelas berbeza bagi setiap subjek yang dipelajari kerana ia merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang diperkenalkan menerusi Program Sekolah Amanah (PSA) yang dikendalikan oleh Yayasan Amir.

Program yang dilancarkan pada 2010 itu diba­ngunkan secara usahasama awam-swasta antara Kementerian Pendidikan, Kha­zanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Ya­yasan AMIR, bertujuan mewujudkan model transformasi sekolah yang boleh dijadikan contoh di seluruh negara.

Pelajar tingkatan lima itu memberitahu, di setiap kelas, disediakan pelbagai kemudahan pembelajaran yang bersesuaian untuk digunakan oleh para pelajar bagi berbincang dan membentangkan hasil kerja masing-masing.

“Memang rasa agak keliru apabila terpaksa berkejar-kejar untuk mencari kelas selepas habis satu subjek dan memulakan sesi pembelajaran bagi subjek lain pada setiap hari.

“Bayangkan kami mengambil enam hingga tujuh subjek, bermakna kami perlu menukar enam hingga tujuh kelas dalam sehari. Memang penat tetapi ia menyeronokkan kerana tidak berasa bosan belajar di tempat sama seperti sekolah biasa,” katanya.

Edmund yang mempunyai pengalaman belajar di sekolah biasa sebelum PSA di SM Sains Kuching berkata, memang terdapat perbezaan ketara suasana pembelajaran di dua sekolah yang berbeza konsep itu.

Katanya, paling berbeza ialah PSA mendidik pelajar menjadi lebih matang, berdikari, kreatif dan aktif memandangkan konsepnya yang memerlukan pelajar banyak berbincang, berfikir dan mengaplikasikan sendiri apa yang dipelajari menerusi pembentangan yang dibuat dalam kelas.

Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan, 16, berkata, tiada istilah bosan apabila mengikuti pembelajaran menggunakan konsep PSA kerana pelajar lebih banyak melakukan kerja-kerja praktikal berbanding teori.

“Belajar mengikut konsep PSA boleh diibaratkan seperti kita kembali ke zaman tadika di mana, kami boleh ‘bermain-main’ dalam kelas.

“Bermain-main ini maksudnya kami bebas berinteraksi antara rakan sekelas dan menggunakan kemudahan peralatan mengajar yang disediakan secara kreatif, sekali gus mengelakkan kebosanan,” ujar pelajar tingkatan empat itu.

Siti Nur Huda Suratin, 15, pula mengakui dirinya amat pemalu semasa berada di sekolah rendah tetapi sikap negatif itu berjaya dibuang selepas belajar di SM Sains Kuching yang dipilih sebagai perintis PSA.

Pelajar tingkatan tiga itu berkata, apabila menjadi pelajar PSA, perasaan malu terpaksa dilupakan kerana semua mereka perlu terlibat dalam kerja berkumpulan, berbincang bersama dan membentangkan sendiri hasil kerja yang dibuat.

Katanya, setiap kali ada perbincangan, mereka tidak akan diletakkan dalam kumpulan sama, sekali gus membolehkan mereka memperoleh ramai kawan untuk berkongsi idea dan pendapat.

“Bagi saya PSA berjaya mencapai matlamat untuk melahirkan pelajar yang holistik dan sepatutnya dikembangkan ke sekolah-sekolah lain,” katanya.

Pada 2015, Khazanah Nasional Berhad menubuhkan Yayasan Hasanah yang kini menerajui tanggungjawab korporat (CSR) termasuk usaha menjayakan lagi PSA melalui Yayasan Amir.