Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor, Dr. Zahrah A. Kadir berkata, beberapa kenya­taan Dr. Mahathir ketika Perhimpunan Agung PPBM minggu lalu yang menyeru rakyat menggu­lingkan Najib jelas sangat tidak demokratik dan menyalahi undang-undang negara.

“Kenyataan itu bukan sahaja dilihat menghina dan menyerang Perdana Menteri tetapi bertujuan menjatuhkan kerajaan dengan cara menghasut rakyat. Wanita UMNO amat bimbang tindakan sedemikian bukan sahaja mengganggu gugat politik negara, tetapi juga memberi ancaman keselamatan.

“Justeru Wanita UMNO menggesa siasatan segera dilakukan pihak polis bagi menghentikan segala perbuatan menghina dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik ini,” katanya selepas mengetuai Wanita UMNO Selangor membuat laporan polis ke atas Dr. Mahathir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahrah yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Selangor berkata, laporan mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang disiarkan melalui portal-portal beri­ta serta ditularkan melalui media sosial dilihat amat berbahaya kepada keharmonian negara jika tidak dibendung segera.

Katanya, jika tiada tindakan tegas, lebih banyak fitnah akan dilemparkan kerana Dr. Mahathir tentunya sedar bahawa hasrat beliau untuk menjatuhkan Najib melalui pilihan raya tidak akan berjaya.