TAN SRI HASMAH ABDULLAH
TAN SRI HASMAH ABDULLAH 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Hasmah mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam pentadbiran pencukaian yang mana lima daripadanya adalah sebagai Ketua Pengarah LHDN.

Jawatankuasa itu katanya turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang pencukaian dan kewangan iaitu Dr. Verinderjeet Singh, Datuk Chua Tia Guan dan Amardeep Singh.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan dilengkapi dengan penyertaan Setiausaha Bahagian Cukai dan timbalannya, Datuk Khodijah Abdullah dan Mohd. Sakeri Abdul Kadir serta Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Mohd. Hassan Ahmad.

“Antara objektif utama jawatankuasa adalah mengenal pasti jurang pencukaian termasuk menangani masalah ketirisan cukai, pengenalpastian dan penerokaan sumber baharu pendapatan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, serta penyemakan keberkesanan insentif cukai mengikut tahap pematuhan syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, oleh kerana Kerajaan Persekutuan tidak merancang untuk menaikkan kadar cukai korporat dan individu, maka Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik dengan mereformasikan sistem pencukaian.

Jawatankuasa Reformasi Cukai tambahnya, akan mengkaji semula sistem pencukaian secara menyeluruh.

“Jawatankuasa ini turut ditugaskan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan hasil cukai tanpa meletakkan beban tambahan kepada rakyat serta mencari cara untuk meminimumkan kebocoran cukai,” katanya.

Sebarang cukai baharu jelas beliau, perlu dipertimbangkan berdasarkan kecekapan, sifat berkecuali, progresif, dan menggalakkan kemampanan ekonomi jangka panjang serta peningkatan produktiviti.

Sekiranya dilaksanakan dengan betul, katanya, sebarang langkah pencukaian boleh menjadi lebih bersasar dan progresif.

“Malah, sebahagian besar langkah-langkah cukai ini telah dijalankan di negara maju dan di negara jiran. Yang penting sekali, langkah-langkah cukai ini tidak boleh membeban golongan berpendapatan rendah,” katanya. - UTUSAN ONLINE