Menterinya, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, dalam era digital masa kini, orang ramai sering disajikan dengan pelbagai maklumat tidak sahih berbentuk fitnah serta tohmahan di alam maya.

Perkembangan itu, kata beliau, memberi kesan negatif sehingga menghakis nilai-nilai perpaduan antara kaum di negara ini.

“Penghasilan video-video pendek ini yang dimuat naik ke dalam media sosial boleh dijadikan platform untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara, me­ngukuhkan perpaduan selain menangkis dakwaan negatif.

“Disebabkan itu, video-video pendek berunsur patriotisme perlu lebih banyak serta kerap dihasilkan, bukan sahaja pada sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia tetapi sepanjang masa,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pemenang Projek Video Malaysia (Provim) 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr. Noor Zari Hamat dan Pengarang Urusan Kumpulan Divisyen Be­rita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Mohd. Ashraf Abdullah.

Provim yang dianjurkan oleh Unit Berita Digital, Divisyen Beri­ta dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima adalah pertandingan menghasilkan vi­deo pendek berdurasi maksimum tiga minit bertujuan memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara.