Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu, penerbit-penerbit filem tempatan hendaklah keluar dari zon selesa serta menjadikan karya-karya serantau yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai penanda aras.

Menurut beliau, beberapa penerbit tertentu lebih cenderung menggunakan formula yang sama bagi memastikan kejayaan filem yang dihasilkan di pasaran tempatan.

“Namun begitu, tindakan sedemikian secara berterusan tidak akan membantu membangunkan industri filem tanah air.

“Mutu filem yang dihasilkan akan kekal pada tahap yang sama dan akhirnya, industri filem Malaysia akan ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Filem Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Perdana Menteri menambah, penggiat-penggiat filem tempatan juga perlu berani menerokai kaedah baharu penyampaian cerita melalui filem.

Beliau memberitahu, langkah itu akan menyumbang kepada usaha menjadikan industri filem tempatan lebih bermutu dan sentiasa membuahkan karya-karya baharu serta menarik.

“Pelabur-pelabur industri filem juga perlu menyokong industri ini dengan kesanggupan untuk menyokong pembikinan filem-filem yang lain daripada yang biasa dihasilkan asalkan ia mempunyai potensi untuk kejayaan komersial,” jelasnya.

Sebagai peminat filem pelbagai genre, Najib berpendapat, kunci kejayaan sesebuah filem terletak pada cara ia diceritakan.

“Walau apa pun genre filem yang dihasilkan, jika cerita yang dikisahkan itu menarik dari segi penulisannya, mudah difahami oleh penonton dan disampaikan dengan cara yang segar serta lakonan berkesan oleh para pelakon, filem itu mampu berjaya,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap karya yang dihasilkan seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi ter­hadap peradaban masyarakat yang seterusnya akan menjadi cerminan budaya Malaysia di arena antarabangsa.