Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, bagaimanapun pada ketika ini proses siasatan yang dijalankan telah selesai kira-kira 75 peratus dan setakat ini lebih 20 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di kilang penapisan itu pada hari kejadian.

"Dalam tempoh seminggu dua ini siasatan dan testimoni bukti akan dirumuskan di makmal penyiasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Sempena Operasi Pemadaman Kebakaran KBC di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, di sini hari ini.

Insiden kebakaran yang terburuk dalam sejarah perindustrian di negeri pada 5 Julai lalu berjaya dipadamkan dalam tempoh hampir 49 jam.

Sementara itu dalam majlis tersebut, Soiman menyampaikan sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi iaitu JBPM Terengganu, JBPM Pahang dan JBPM Kelantan.

Juga kepada pihak yang membantu melancarkan urusan termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, KBC, Hospital Kemaman, Jabatan Pengairan dan Saliran, Angkatan Pertahanan Awam dan pengamal media. - UTUSAN ONLINE