Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, tiada pihak akan mengambil untung daripada jualan buku tersebut terma­suk baginda sendiri dan hasilnya akan disumbangkan 100 peratus bagi membantu pasangan yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata melalui TAFF.

Titah baginda, selama empat tahun ini, yayasan tersebut terpaksa menghentikan tajaan kerana ketiadaan dana dan kini, baginda menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM7 juta daripada penjualan 20,000 unit buku masakan tersebut untuk meneruskan tajaan rawatan fertiliti kepada pasangan yang kurang berkemampuan.

“Antara 2005 dan 2012, sekurang-kurangnya 493 pasa­ngan telah mendapat manfaat daripada penajaan prosedur perubatan yang ditawarkan me­lalui TAFF yang dibiayai secara keseluruhannya daripada hasil sumbangan korporat atau peri­badi selain daripada penjualan buku.

“Saya tahu bagaimana ca­baran dan kesusahan setiap pasangan untuk mendapat anak kerana saya juga berpengalaman untuk melakukan rawatan fertiliti untuk satu masa yang panjang,” titah baginda dalam Majlis Minum Petang anjuran Perbadanan Muzium Negeri Pahang di sini hari ini.

Buku Air Tangan Tengku Puan Pahang - Masakan Tradisional Pahang dijual dengan harga RM380.00 manakala Air Tangan Tengku Puan Pahang - Manisan Tradisional Pahang dijual de­ngan harga yang sama dan boleh didapati di laman web cheminahsayang.com.

Baginda bertitah, buku tersebut terbahagi kepada dua versi iaitu untuk masakan dan ma­nisan yang mengandungi lebih 600 resipi.

“Hampir kesemua resipi tra­disional yang direkodkan, di­pulihara mengikut cara dan kaedah masakan tradisinya.

“Selain itu beberapa masakan tradisi daripada masyarakat Orang Asli Pahang turut di­tampilkan di dalam buku ini,” titah baginda.