Anugerah dengan ganjaran RM5,000 bersama sijil penghargaan dalam program dwitahunan  itu diwujudkan sebagai pengiktirafan terhadap individu berwibawa, dengan karya bermutu dan konsisten yang memberi impak dalam dunia sastera tanahair itu.

Tokoh Sastera  sebelum ini diberikan kepada Sharif Putera dalam edisi pertama  2013 dan disusuli SM Noor semasa HASDI II (2015).

Dalam majlis penyampaian HASDI III di Hotel Permai di sini malam ini, Wan Ahmad Ismail yang lebih dikenali sebagai aktivis teater  selain penglibatannya dalam genre puisi diangkat sebagai penerima  Anugerah Cekal Sastera sekali gus dinobatkan sebagai Sasterawan Harapan Negeri.

Anugerah berkenaan yang sebelum ini diraih oleh Hilmi Rindu dan Husna Nazeri berdasarkan komitmen individu dalam proses penciptaan dan penataran  bidang penulisan yang digauli scara berterusan dan cukup menyerlah.

Wan Ahmad menerima hadiah wang tunai RM3,000 bersama sijil penghargaan yang disampaikan oleh  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zubir Embong.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Nawawi Wan Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salahuddin Abang Shokeran; Pengarah DBP Wilayah Timur, Zainab Omar dan Ketua 1 Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Kamarulzaman Ismail.

HASDI didokong oleh kerajaan negeri dan diselenggarakan oleh Pelita bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan para sasterawan /penulis/pengarang anak negeri dan pemaustatin yang telah menghasilkan karya yang bermutu, dan menyemarakkan dunia sastera negeri dan  tanahair.

Sementara itu bagi karya sastera, Nawawee Mohamad menggondol dua hadiah utama kategori kumpulan puisi kanak-kanak dan kumpulan puisi remaja.

Marsli N.O pula memenangi hadiah utama kumpulan puisi umum dan Fahd Razy bagi puisi umum manakala Husna Nazeri meraih hadiah utama bagi novel umum sementara Sharif Putra bagi novel remaja.

Hadiah utama kumpulan cerpen pula turut dimenangi oleh Fahd Razy manakala Muhammad Irfan Nyia Abdullah bagi kumpulan cerpen kanak-kanak. - UTUSAN ONLINE